Dari FB Surau Cahaya SPK
Solat adalah anugerah yang amat istimewa. Tidak ada satu perintah pun yang di terima Nabi dengan secara terus menerus dari Allah SWT selain dari solat. Pasti ada rahsianya mengapa ibadah solat diberi dengan cara yang paling unik dan di tempat yang lebih tinggi dari Syurga al-Firdaus. Ilmu Allah umpama lautan yang tiada tepiannya. Memahami setitik dari rahsia ini sudah besar ertinya kepada kita. Penemuan hikmah di sebalik solat boleh diumpamakan sebagai penemuan kunci untuk membuka pintu kejayaan.
Nabi s.a.w. menyatakan bahawa solat berjemaah melebihi 25 kali nilainya dari solat bersendirian. Jika kita mengandaikan nilai solat berjemaah itu umpama memperoleh 25 mata, maka jumlah yang diperoleh seseorang dalam masa seminggu adalah 875 mata. Sementara jumlahnya dalam sebulan ialah 3500 mata. Bandingan solat sendirian hanyalah 35 mata untuk seminggu atau 150 mata sahaja untuk sebulan. Dari sudut peratus, kelebihannya adalah 2333%. Mata ini hanya perumpamaan untuk memudahkan kita memahami kedudukan solat jemaah. Sekiranya kita memindahkan kepada nilai mata wang, apakah yang boleh dibelanjakan oleh seseorang yang memperoleh RM 150 sebulan, jika dibandingkan dengan seorang yang memperoleh RM 3500 sebulan? Ini hanya gambaran solat fardu yang dilakukan secara berjemaah. Bayangkan jika ditokok tambah pula dengan amalan sunat yang lain. Jika setiap kali solat kita diberikan RM 25 seorang, mungkin ramai yang akan berbaris untuk menunaikan solat jemaah. Hakikatnya, nilai pahala adalah jauh lebih tinggi dari apa yang kita sangka, apatah lagi dengan nilai wang ringgit. Pahala adalah hak Allah SWT, kita tidak dapat menentukan pahala atau mengukurnya. Mencari pahala itu sudah baik, tetapi yang lebih baik ialah mencari reda Allah SWT yang tidak ada batasannya. Pahala sekali solat sunat fajar sahaja digambarkan oleh Rasulullah s.a.w. sama dengan dunia dan isi kandungannya. Dapatkah kita bayangkan pahala solat fardu secara berjemaah? Justeru, kelebihan ini tidak boleh dipandang ringan. Lantaran usia kebanyakan manusia amat singkat, kita dianjurkan mencari al-Baqiyat as-Solihat, iaitu amal yang berpanjangan dan impaknya besar kepada diri dan masyarakat. Amalan dalam kategori ini adalah solat jemaah. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan al-Baqiyat as-Solihat (amal yang kekal lagi baik) adalah lebih pahalanya di sisi Tuhan mu dan lebih baik untuk diharapkan.” Al-Kahfi 18:46.
Rasulullah s.a.w. amat menitik beratkan solat jemaah. Perkara pertama yang Baginda dirikan semasa hijrah ke Madinah adalah mendirikan masjid, tempat manusia berkumpul, bermasyarakat dan mendirikan solat berjemaah. Persoalannya, mengapakah solat berjemaah itu diberi perhatian berat oleh Rasulullah s.a.w.? Solat jemaah berkaitan dengan sistem mengatur hidup bermasyarakat. Tidak ramai di kalangan kita yang menyedari kepentingan solat jemaah dari aspek pembangunan umat. Kelebihan solat jemaah sudah cukup untuk menjadi tanda (clue) tentang kepentingan solat berjemaah. Bertitik tolak dari sini maka kita mengenali bahawa sebenarnya solat jemaah adalah kunci membina kekuatan dan tamadun umat.
Pepatah Melayu yang mengatakan ‘Bersatu teguh, bercerai roboh’ adalah kenyataan yang paling tepat bagi menggambarkan prinsip solat jemaah ini. Kita bersatu hati dan perbuatan ketika menunaikan solat jemaah. Apabila bersatu maka timbullah kekuatan. Maka dengan itu solat jemaah kunci kepada kekuatan umat. Kita boleh bersatu dalam solat harian, solat Jumaat, solat Tarawih, solat Idil Fitri dan Adha, tetapi, mengapa kita tidak boleh membawa prinsip kesatuan hati dan iman ini di luar solat? Alangkah indahnya jika umat Islam memahami, bahawa solat jemaah yang sering dilakukan itu bertujuan untuk merapatkan hubungan kasih sayang dan mengikat hubungan kesatuan yang amat diutamakan dalam Islam. Allah SWT mengingatkan kita tentang prinsip ini dalam firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara.”
Masjid adalah institusi yang menyatupadukan umat. Masjid adalah Rumah Allah. Tujuan utama masjid ialah membawa manusia berkumpul di bawah bumbung Rumah Allah. Masjid adalah tempat manusia mencari ketenangan, perhubungan harmoni sesama insan dan tidak kurang sebagai pusat terapi ruhaniah. Sesungguhnya masjid adalah pusat yang neutral, yang tidak melambangkan pihak. Justeru, ia perlu dibangunkan sebagai tempat yang mesra kepada semua orang. Fungsi masjid adalah mendirikan jemaah. Mendirikan jemaah membawa kepada kesatuan hati. Kesatuan hati pula adalah rahsia kepada kekuatan umat. Justeru, kita bertanggungjawab untuk menjadikan masjid sebagai inti kekuatan perpaduan masyarakat.
Pembinaan tamadun
Prinsip pembinaan tamadun Islam bermula dari konsep ‘dari masjid ke masjid’, sebagaimana yang boleh kita fahami dari perjalanan Isra’ Nabi dari Masjid al-Haram di Mekah ke Masjid al-Aqsa di Palestin. Berjemaah adalah langkah pertama dalam pembinaan sesuatu masyarakat dan seterusnya pembinaan tamadun. Manusia harus berkumpul dan bekerjasama, sama ada di peringkat masyarakat setempat atau antarabangsa. Bekerjasama membuka peluang perniagaan, peluang pengenalan dan pertukaran kebudayaan, peluang bantuan kemanusiaan, kerjasama membasmi penyakit dan perkara-perkara lain yang bermanfaat. Inilah konsep yang dibawa oleh berjemaah. Sebaik sahaja manusia keluar dari peraturan ini, maka ia akan mengundang kebinasaan, perbalahan dan tidak mustahil hingga ke tahap peperangan. Malapetaka ke atas kemanusiaan pada hari ini adalah hasil daripada ketamakan, kesombongan dan tidak mahu menghormati hak-hak orang lain. Ringkas kata, lari dari prinsip berjemaah.
Berjemaah menyedarkan kita satu realiti, iaitu kita ini sama sahaja pada pandangan Allah SWT. Kita menanggalkan pakaian kebesaran dan sujud dengan penuh kerendahan di hadapan-Nya. Majikan dan pekerja ketika itu menjadi sama. Lelaki dan perempuan adalah sama, tetapi di tempat terhormat masing-masing. Solat yang memiliki ciri utama khusyuk iaitu ‘mengetahui harga diri kita di mata Allah’, ‘kuasa, kekuatan, kepandaian dan kebolehan kita adalah dari-Nya’, serta ‘sedar akan apa yang kita minta dari-Nya’ (Lihat huraian surah al-Mukminun:1 oleh Abdullah Yusuf Ali) akan menyedarkan kita tentang prinsip hak dan kedudukan kita di bumi ini. Kita mula menyedari, bahawa setiap orang mempunyai tugas dan tanggungjawab terhadap diri, orang lain dan yang paling utama terhadap Allah SWT yang kita cintai. Khusyuk solat membawa insaf. Keinsafan inilah yang harus dibawa dengan baik di luar solat apabila kita berinteraksi sesama manusia.
Berjemaah maksud bersatu dalam tujuan dan melakukan sesuatu. Tidak ada se kumpulan manusia yang boleh mencapai kemajuan jika mereka tidak bersatu dan bergerak mengikut satu haluan. Pasukan bola sepak yang terhandal di dunia pun tidak mampu menjaringkan gol jika tidak bersatu dan sehaluan. Umat Islam memiliki banyak sebab yang membawanya kesatuan. Sikap yang diperlu digilap hanya sikap memahami kekurangan orang lain, bertolak ansur dan tidak menganggap diri serba-serbi sempurna. Allah SWT menjadikan setiap kita berbeza dan mempunyai kekuatan serta kelemahan tersendiri. Yang sempurna hanya Dia. Kelemahan harus ditampung dengan kekuatan orang lain. Jika tidak, mungkin sampai kiamat pun kita tidak akan dapat bersatu dan mencapai kejayaan dalam membina tamadun. Titik pertemuan ialah seperti kata Rashid Ridha, “Bahu membahu dalam perkara yang kita sepakati, dan bertolak ansur dalam perkara yang diperselisihkan.” Jika perkara kesatuan hati ini ditangani dengan sabar dan kewarasan yang tinggi serta bermatlamat ingin mencapai reda Allah SWT, maka Insya-Allah “Sehari selembar benang, lama-lama bertaut menjadi kain.” Jadi, mulakan dengan solat jemaah.
Berjemaah adalah kekuatan yang disediakan Islam kepada umatnya yang tidak ada pada yang lain. Tetapi dengan satu syarat, iaitu prinsip yang membina kekuatan ini haruslah dijelmakan sebagai realiti dalam kehidupan seharian. Kejayaan mengatur hidup dunia memainkan peranan besar terhadap kejayaan kita di akhirat. Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: “Dunia adalah ladang untuk akhirat.”
Namun, mungkin sesekali timbul pertanyaan, mengapa umat Islam hari ini diperkotak-katikkan oleh sesetengah negara besar di dunia. Jawapannya mungkin terletak kepada kualiti, iman, sistem nilai dan jati diri umat Islam itu sendiri. Kadang-kadang kita lebih terpesona dengan nilai asing dan meminggirkan sumber kekuatan yang telah sedia ada dalam genggaman sendiri. Justeru, kiasan ‘bagaikan buih di lautan’ seperti yang digambarkan Nabi Muhammad s.a.w. bukan lagi suatu perkara yang menghairankan. Formula kemajuan menurut Imam Malik bin Anas r.a. ialah, “Kemajuan generasi ini akan hanya dicapai jika mengikut formula asas yang menjadikan umat Islam sebelum mereka menjadi maju.” Formula mencapai kemajuan umat Islam tidak lain, selain kembali menghayati ajaran al-Quran, Hadis dan mempraktikkan nilai-nilai murni dalam agama. Justeru, antara nilai yang patut diberi perhatian ialah pembangunan institusi solat jemaah.
Prinsip kekuatan itu terletak dalam kemuafakatan. Justeru, rahsia kejayaan Iblis dalam memecahbelahkan persaudaraan anak Adam ialah dengan mencari sebab-sebab yang memecahkan kemuafakatan. Justeru, kita perlu berwaspada dengan unsur-unsur yang boleh meretakkan perpaduan umat, terutama dalam keadaan dunia masa ini. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Taatilah Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantahan menyebabkan kamu gentar dan hilang kekuatan mu dan bersabarlah.” Al-Anfal 8:46.
Pembinaan tamadun itu bermula dari unit terkecil iaitu rumah. Jika tidak dapat solat berjemaah di masjid atau surau, laksanakan solat jemaah bersama-sama ahli keluarga. ‘Aura’ kebahagiaannya pasti akan terasa, jika solat jemaah didirikan di dalam rumah. Ia menjadi salah satu faktor yang membina kerukunan hidup berumah tangga. Kerukunan ini seterusnya akan membantu membina kerukunan hidup bermasyarakat. Ia umpama bata yang melengkapi satu binaan. Bata yang tidak seimbang ikatannya akan mengakibatkan keruntuhan sesebuah bangunan. Persoalan yang sama boleh diterapkan dalam komuniti yang lebih besar, seperti di desa, taman perumahan atau di kawasan bandar. Oleh itu, konsep berjemaah ini adalah amat penting. Jika prinsipnya dikembangkan kepada aktiviti lain maka kita akan mendapat kejayaan yang sempurna. Tidak ada jalan pintas selain dari merealisasi prinsip-prinsip berjemaah jika ingin mencapai kejayaan sebagai sebuah masyarakat bertamadun yang tinggi.
Kebaikannya
Solat berjemaah mengajar prinsip mengiktiraf hak orang lain. Seorang imam tidak boleh memimpin solat sesuka hati tanpa persetujuan makmum dan mengambil kira keupayaan makmum. Muaz bin Jabal pernah ditegur Nabi semasa menjadi imam kerana memanjangkan solatnya. Justeru, imam harus mengambil kira agar solat, doa atau khutbahnya (jika solat Jumaat) tidak terlalu panjang demi menjaga kemaslahatan umum. Semakin tinggi kehalusan budi dan seni ‘berbahasa’ maka semakin tinggi jugalah sesebuah tamadun itu. Seperti kata seorang Budayawan, “ Umat yang ada akar dan jati diri itu adalah umat yang ada identiti budayanya yang tinggi.” Maka solat jemaah mendidik umat untuk berbudaya tinggi. Budaya tinggi adalah ciri yang perlu ada bagi sebuah tamadun yang terbilang.
Solat berjemaah di masjid membuka ruang berkenal-kenalan dan ‘berukhuwwah’. Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud, “Seorang muslim adalah saudara bagi seorang muslim yang lain. Dia tidak akan menzaliminya dan tidak membiarkan saudaranya itu.” Tidak memadai jika kita bersalaman sesudah solat tetapi bermasam muka. Seorang Islam harus bersalaman dengan senyuman dan bertegur sapa. Jika tidak maka tidak akan tertegak juga jiwa solat jemaah. Solatnya mungkin berpahala, namun kita tidak mencapai sunnah yang sempurna dalam menegakkan rukun bermasyarakat sebagaimana yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Justeru, binalah solat jemaah dengan mengambil kira manfaat sunnah-sunnahnya.
Solat jemaah membina keseimbangan sosial. Seseorang yang dalam situasi kesusahan seperti kematian, sakit, bersalin, berpindah dan sebagainya akan cepat diketahui melalui institusi solat jemaah. Saudara yang bermusibah akan segera pula menerima bantuan. Masalah sesama saudara, jika ada, akan diselesaikan dengan cara muafakat dan bertemu muka secara ‘gentleman’. Ini ciri orang bertamadun. Tamadun tinggi tidak mungkin dicapai tanpa muafakat dan menghormati hak orang lain, bak kata pepatah, “Muafakat membawa berkat.” Kesabaran, prihatin terhadap kesusahan orang lain, tolong-menolong dan muafakat adalah sebahagian dari keindahan dan ‘keberkatan’ solat jemaah. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Bantu membantulah dalam menegakkan kebajikan dan taqwa, dan jangan kamu bantu-membantu dalam menegakkan dosa dan permusuhan.” al-Mai’dah 5:2. Justeru, perintah Allah SWT agar bantu-membantu dalam perkara kebaikan akan menjadi realiti melalui solat jemaah.
Solat jemaah mengajar kita konsep kepimpinan. Satu unit komuniti terkecil terdiri dari dua orang. Justeru, komuniti sekecil ini pun harus diatur. Nabi mengajar kita untuk melantik seorang sebagai ketua jika ada sekumpulan kecil yang bermusafir. Pemimpin bertanggungjawab untuk memimpin dengan adil, bijak dan bertimbang rasa. Sementara pengikut pula bertanggungjawab untuk mentaati pemimpin pada perkara yang tidak melanggar batas Syariat. Ia mengandungi prinsip kepimpinan dan ketaatan. Prinsip asas bermasyarakat ini terdapat di dalam solat berjemaah. Makmum perlu mengikut imam. Solat tidak sah jika seseorang makmum mendahului imam dengan sengaja. Imam boleh dari sesiapa. Imam dikira dari segi keilmuan tentang soal solat, ia harus tahu menangani sesuatu perkara yang timbul ketika solat. Sepatutnya semua orang Islam dilatih mempertingkatkan diri untuk memimpin, sekurang-kurangnya belajar menjadi imam dalam solat jemaah. Wanita adalah mulia, justeru memelihara kehormatan dan kemuliaannya maka ia tidak diperuntukkan menjadi imam, kecuali untuk makmum wanita juga. Justeru, meletakkan wanita sebagai imam di hadapan makmum lelaki membuka ruang untuk merendahkan maruahnya secara halus dan tersirat oleh lelaki. Istilah diskriminasi wanita hanya akan timbul, jika orang Islam berfikir dalam acuan pemikiran budaya asing.
Setiap kali sebelum solat jemaah didirikan, ia didahului dengan laungan azan. Memang tepat sekali kalimah ‘Allah Maha Besar’ di awal setiap solat jemaah. Ini kerana kebaikan yang tersirat dari mempraktik solat jemaah amat besar dalam menyusun hidup bermasyarakat dan pembinaan Tamadun Hadhari. Keberkatannya bukan hanya kepada umat Islam, malah ia akan melimpah kepada seluruh masyarakat di sekitar sesebuah institusi solat jemaah itu. Dengan memahami kebaikan ini, tidak mustahil, umat Islam di dunia akan menjadi umat contoh yang ideal dan menjadi ikutan umat yang lain. Firman Allah SWT bermaksud: “Dan demikian Kami telah jadikan kamu umat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi saksi kepada manusia, dan Rasul menjadi saksi pula ke atas kamu.” Al-Baqarah 2:143.
Wallahu A’lam.
p/s dipetik dari tulisan Kalam Mas
Monday, March 28, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment