JIKA SEMUA GOLONGAN YG ALIM BERSIKAP SEPERTI MALIK RA petikan dr Majalah Solusi Kolum Us Umar M Nur hafizahulLah
by Ustaz Zahazan Mohamed on Thursday, 21 October 2010 at 14:47
Sebagai tokoh rujukan umat Islam, nama Imam Malik bin Anas sangat harum di sisi penguasa Abbasiah di Baghdad. Khalifah Abu Jaʻfar al-Mansur (w. 158H) sangat mengagumi dan menghormati beliau. Ketika Khalifah al-Mansur datang ke Makkah untuk melaksanakan ibadah haji, beliau segera menjemput Imam Malik untuk menemuinya. Kedua-duanya berbincang tentang pelbagai permasalahan agama. Tampak sekali, Khalifah sangat teruja dengan keluasan ilmu yang dimiliki oleh Imam ahli Madinah ini.
Khalifah al-Mansur lalu berkata, “Saya berniat untuk menyalin bukumu yang bertajuk al-Muwatta’ dan mengutusnya ke seluruh negeri. Lalu akan aku perintahkan semua rakyat untuk melaksanakan isinya dan meninggalkan kitab-kitab yang lain. Ini kerana aku berpendapat bahawa mazhab yang benar adalah riwayat dan pendapat ahli Madinah.”
Abu Jaʻfar al-Mansur terkenal sebagai seorang khalifah yang sangat tegas dan disegani rakyatnya. Jika beliau memerintahkan sesuatu, tidak ada yang berani membantahnya. Dan ucapan beliau kali ini berisi tawaran untuk menjadikan kitab al-Muwatta’ satu-satunya rujukan hukum dan fatwa Imam Malik satu-satunya fatwa yang bakal diguna di tengah-tengah masyarakat.
Namun, apa agaknya respons Imam Malik terhadap tawaran ini? Beliau berkata, “Wahai Amirulmukminin, janganlah engkau lakukan niat ini! Sesungguhnya masyarakat telah mempunyai pendapat mereka sendiri. Mereka juga membaca hadis dan pelbagai riwayat. Setiap orang mengamalkan pendapat yang menurutnya benar sesuai dengan berbagai-bagai fatwa para sahabat Nabi s.a.w. Mencabut amalan dan pendapat yang selama ini diyakini bukan perkara ringan. Maka biarkanlah setiap orang melaksanakan pendapat yang menjadi pilihan mereka.”
Mendengar jawapan bijaksana yang keluar dari mulut Imam Malik ini, Khalifah al-Mansur mengurung niatnya. Beliau berkata, “Demi Allah, andai engkau setuju, nescaya aku akan segera melaksanakan niatku ini.”
Saturday, November 6, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment