Saturday, November 27, 2010

Celaan Membawa Semangat.

Celaan Membawa Semangat.
by Ustaz Zahazan Mohamed on Monday, 22 November 2010 at 12:13
Petikan dr Majalah Solusi isu 25 (Mujahadah Melawan Nafsu), kolum Mahmudah oleh Us Umar M Nur hafizahulLah.

Celaan Menjadi Semangat.
Ramai tokoh dalam Islam bangun hasil celaan seseorang. Kita ambil beberapa tokoh sebagai contoh antaranya yang berasal dari negeri Mesir ini, namanya Ahmad bin Muhammad bin Salamah Al-Tahawi, gelarannya Abu Jaafar. Beliau lahir di desa Taha pada tahun 237 H, lalu terkenal sebagai seorang faqih mazhab Hanafi sekali gus seorang ahli hadis bergelar al-Hafiz. Setiap orang yang membaca buku-buku karangannya seperti Syarh Ma’ani al-Atsar, Syarh Musykil al-Atsar dan lain-lain dapat dengan jelas melihat kepakaran beliau dalam kedua ilmu ini.

Pada awalnya, Abu Jaafar Al-Tahawi ini hanya seorang pemuda biasa. Beliau juga bukan pengikut mazhab Hanafi, akan tetapi seorang pengikut mazhab Syafii. Beliau mempelajari mazhab ini daripada pakciknya yang bernama Abu Ibrahim Al-Muzani, seorang murid Imam al-Syafii. Pada suatu hari, Abu Jaafar banyak melakukan kesilapan dalam membaca kitab fiqh di hadapan pakciknya ini. Al-Muzani mencela dan memakinya. Dalam emosi, beliau bersumpah, “Demi Allah, engkau tidak akan berjaya dalam pelajaran!”

Mendengar celaan dan makian ini, Abu Jaafar Al-Tahawi menjadi sangat marah. Beliau lalu meninggalkan majlis al-Muzani dan beralih kepada Ibn Abi Imran untuk mengaji fiqh Hanafi daripadanya. Kekesalannya dek celaan al-Muzani membakar semangatnya untuk belajar dengan penuh kesungguhan. Akibatnya, beberapa tahun kemudian al-Tahawi tampil sebagai ulama terkemuka sekali gus pembela mazhab Hanafi terbesar hingga ke hari ini. Kepakarannya dalam hadis membuat ijtihad-ijtihad Imam Abu Hanifah yang sebelumnya dikenal sebagai ahli Ra‎’yi terlihat sangat dekat dengan hadis Nabi s.a.w.

Al-Muzani telah lama wafat apabila Abu Jaafar al-Tahawi menjadi ulama sebesar ini. Abu Jaafar al-Tahawi berkata, “Semoga Allah merahmati Abu Ibrahim Al-Muzani. Andai beliau masih hidup pada saat ini, beliau perlu membayar kaffarah untuk menebus sumpahnya.”

Kisah ini dapat anda temukan di buku-buku karangan al-Hafiz al-Dzahabi seperti Tazkirat al-Huffaz, Siar A’lam al-Nubala dan lain-lain.

Sikap ini menjadi pilihan orang berhati bersih dan berjiwa luas. Celaan mendorong orang seperti ini untuk menjadi insan yang lebih baik dan lebih sempurna. Ia bertekad merubah celaan tersebut menjadi penyebab kita meraih pujian di kemudian hari, sama ada di dunia ataupun di akhirat. Dan sikap ini menjadi pilihan tokoh-tokoh besar dunia Islam seperti yang terjadi pada diri Abu Jaafar Al-Tahawi di atas.

Sibawaih
Selain al-Tahawi, saya menemukan banyak sekali tokoh Islam lain yang juga pandai merubah celaan menjadi semangat. Salah seorangnya adalah Abu Bisyr ‘Amr bin ‘Usman bin Qanbar, terkenal dengan gelaran Sibawaih (w. 180 H). Setiap orang yang pernah belajar Bahasa Arab pasti mengenal nama ini. Beliau seorang ulama Nahwu yang memberi sumbangan tidak ternilai dalam perkembangan bahasa Arab hingga namanya tetap hidup hingga ke hari ini.

Seperti al-Tahawi, Sibawaih pada mulanya hanyalah seorang pemuda biasa. Suatu hari, apabila belajar hadis kepada Imam Hammad bin Salamah di Basrah, beliau tersilap membaca sebuah kata yang terdapat di dalam hadis tersebut. Satu lafaz yang seharusnya dibaca mansub, ia baca marfu’. Hammad menghardiknya di hadapan orang ramai, “Engkau keliru, wahai Sibawaih!”

Hardikan itu sangat berkesan di hati Sibawaih. Beliau merasa malu dan marah. Di dalam hati, beliau segera bertekad, “Aku akan menuntut sebuah ilmu yang dapat menjagaku daripada disalahkan oleh orang lain.” Beliau lalu mendatangi ulama Nahwu terbaik di masanya, iaitu Al-Khalil bin Ahmad, untuk belajar semua ilmu yang berkaitan dengan bahasa Arab. Beliau belajar dengan sungguh-sungguh hingga beberapa lama kemudian namanya dikenali sebagai tokoh bahasa Arab terbesar sepanjang sejarah.

Kisah ini saya lalui apabila membaca kitab Nahwu karangan Imam Ibn Hisyam al-Ansari yang bertajuk Mughni al-Labib ’an Kutub al-A’arib dalam majlis Syeikh Usamah al-Rifa’i di Damsyiq Syiria.

Ibn Sina
Kisah lain yang lebih dahsyat saya temukan dalam kitab Lathaif al-Minan Wal Akhlak karya Imam Abdul Wahab al-Sya’rani. Beliau menukilkan daripada Imam Taqiyuddin al-Subki yang bercerita tentang kisah Abu Ali Ibn Sina seorang filosof Islam yang sangat pandai dan genius.

Suatu hari seseorang mencela Ibn Sina kerana ia tidak hafal al-Quran. Mendengar celaan itu, Ibn Sina menjadi sangat malu dan marah. Beliau lalu terdorong untuk menghafal seluruh al-Quran, dan beliau melakukannya hanya dalam satu malam! Padahal sebelumnya ia hanya menghafal surah Al-Fatihah, Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas sahaja.

Bagi saya, kisah ini sangat mengagumkan dan luar biasa sehingga nampak agak sukar untuk dipercayai. Allah yang lebih tahu akan kesahihan kisah ini.

Menata Hati Menghadapi Celaan
Setiap manusia tidak dapat lari daripada celaan dan cemuhan orang lain. Siapa pun kita, di mana pun kita berada, selalu sahaja terdapat orang yang akan mencela bahkan mencemuh kita. Malah Allah dan rasul-Nya pun tidak terlepas dari lidah keji manusia-manusia seperti ini. Seorang penyair Arab berkata: “Manusia menuduh Allah punya anak, mereka juga berkata: Rasul seorang tukang sihir. Tidak selamat Allah dan rasul-Nya daripada lidah manusia, apatah lagi saya?”

Kerana celaan suatu kepastian, maka kita mesti pandai menata hati. Jangan biarkan ucapan negatif orang lain itu mengeruhkan hidup kita, menguruskan tubuh kita dan menahan kita daripada aktiviti yang bermanfaat untuk masa depan kita.
Kita mesti pandai memanfaatkan energi positif yang terdapat di dalam celaan untuk membakar semangat menuju kejayaan. Setiap kali mendengar celaan, pandanglah ia sebagai obat, semakin pahit rasanya semakin baik untuk kesihatan kita.

Marah dan dua pilihan
Saya tidak tahu dengan anda, akan tetapi setiap kali mendengar celaan, apalagi jika berlaku di hadapan orang ramai, hati saya terasa sangat sakit. Telinga terasa terbakar, muka merah padam, dan emosi terasa hendak meletup. Malu terasa bercampur dengan kemarahan.

Jika anda merasakan hal yang sama, itu pertanda anda manusia normal. Sebagai manusia, celaan sangat menyakitkan hati dan membakar kemarahan. Hanya orang bodoh sahaja yang tidak marah ketika orang lain menyentuh kehormatan dan meruah dirinya. Imam al-Syafii berkata, “Barang siapa yang dibuat supaya marah namun tidak marah, maka ia adalah keldai.” Keldai adalah simbol untuk kebodohan yang sangat parah.

Pada saat penuh emosi ini, kita dihadapkan dua pilihan yang siap untuk diambil. Apa yang kita pilih biasanya ditentukan oleh karakteristik jiwa kita.

Pilihan pertama adalah merubah kemarahan itu menjadi dendam, lalu menyimpannya di dalam hati dan menunggu saat yang tepat untuk diaktualkan. Ia menanti dengan penuh waspada masa keemasan untuk membalas sakit hatinya dengan berbagai perbuatan yang dapat merosakkan orang lain, bahkan dirinya sendiri. Sikap ini menjadi pilihan ni orang yang berjiwa kotor dan hina. Celaan dan makian yang ia dengar bukan sahaja merosak hatinya, malah juga meruak masa depannya.

Pilihan kedua adalah menyimpan kemarahan itu di dalam hati lalu merubahnya menjadi pembakar api semangat untuk memperbaiki diri. Celaan memang menyakitkan, namun ia menyedarkan kita kepada kekurangan diri yang mesti diperbaiki. Tidak ada yang lebih menyakitkan hatinya daripada membiarkan kekurangan tersebut tetap berada di dalam dirinya sehingga mengundang berbagai celaan lain sepanjang hidupnya.

Celaan sebuah ubat, pujian sebuah racun
Imam al-Ghazali di dalam Ihya Ulumiddin berkata, “Sering kali manfaat yang kita dapatkan daripada celaan orang-orang yang memusuhi kita lebih banyak daripada manfaat yang kita dapatkan dari teman-teman yang selalu memuji kita.”

Ya, pujian jauh lebih merbahaya daripada celaan. Ia memang manis, namun mengandungi racun yang dapat merosak hati manusia. Semakin terbiasa seseorang mendengar pujian, semakin hatinya tertutup daripada kebenaran. Pada saat itu, ia tidak akan pernah tersedar daripada kekurangan dirinya apalagi tergerak untuk merubah dan memperbaikinya. Tanda seseorang sangat hina di mata Allah, Allah membiarkannya tenggelam dalam pujian.

Sebaliknya, celaan memang pahit namun ia berisi ubat yang akan merubah hidup kita menjadi lebih sempurna. Syaratnya kita mesti pandai merubah celaan itu menjadi pembakar semangat seperti yang dilakukan tokoh-tokoh berjiwa besar. Jika anda memiliki jiwa sebesar mereka, anda pasti melakukan apa yang mereka lakukan. Wallahu a’lam.

No comments: