TAFSIR SURAH AN-NAS petikan & diubahsuai dr Majalah Solusi Terbitan Telaga Biru
Tafsir Surah al-Nas
Firman Allah Swt menerusi surah al-Nas ayat 1- ,maksudnya : (1) Katakanlah (wahai Muhammad): Aku berlindung kepada (Allah) Pemelihara sekalian manusia. (2) Yang Menguasai sekalian manusia, (3) Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia, (4) Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam, (5) Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, (6) (Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia.
Terdapat 3 sifat Allah swt yang difokuskan dalam surah ini iaitu: Rububiyyah , al-Mulk ( kerajaanNya ) dan Uluhiyyah ( Allah swt sebagai tempat untuk mempersembahkan ibadah secara mutlak ).Ayat ini meletakkan bahawa Allah swt merupakan pencipta yang bersifat dengan segala sifat kesempurnaan dengan penguasaan mutlaknya alam semesta.Lalu Dia menetapkan bahawa hamba mestilah mengerjakan ibadah secara khas buatNya, tanpa melakukan sebarang bentuk perbuatan syirik.
Menyedari kekuasaan yang ada padaNya, maka manusia hendaklah memohon bantuan daripada Allah untuk mendapatkan perlindungan dari gangguan syaitan yang tidak kelihatan itu.Ini disebabkan manusia sentiasa digoda oleh qarin iaitulah syaitan yang menyertainya sepanjang kehidupannya.Tugas syaitan ini adalah membisikkan kepadanya agar berbuat maksiat dan meninggalkan perintahNya.Nabi saw bersabda yang bermaksud : Tidak ada seorangpun dari kalian melainkan telah diutuskan kepadanya qarin ( pendamping ) daripada kalangan jin.Para sahabat lantas bertanya : Termasuk Nabi juga ? Jawapan Nabi : Ya, Cuma Allah telah membantuku ke atasnya menyebabkannya masuk Islam, maka ia hanya menyuruhku melakukan kebaikan ! ( Riwayat Muslim no 2814 )
Penglibatan syaitan dalam memporakporandakan hubungan manusia ini hingga timbul silap faham, fitnah dan penganiyaan ini amatlah jelas.Justeru Nabi yang mulia, menganjurkan kita agar mengelakkan fitnah dari berlaku.Pernah dalam satu kesemptan ketika berjalan bersama isteri Nabi saw, ummulmukminin Safiyyah r.ha, lalu Nabi bertembung dengan dua orang sahabat Ansar.Kedua orang sahabat itu kelihatan menyegerakan perjalanannya.Nabi saw lantas memanggil keduanya lalu bersabda : “Ini adalah isteriku Safiyyah ! Mereka mengatakan : Maha suci Allah ! Jawapan Nabi saw : “ Sesungguhnya syaitan mengalir dalam tubuh manusia seperti aliran darah !
Menurut Saeid bin Jubair r.a, Ibn Abbas menerangkan bahawa firman Allah ( ) yang bermaksud bisikan syaitan yang bersembunyi merujuk kepada keberadaan syaitan yang selalunya berada dekat dengan hati manusia.Apabila hati itu lalai, maka dia mula membisikkan kepadanya agar berbuat kejahatan.Sebaliknya apabila dia mengingati Allah, maka syaitan yang berada dekat dengan hatinya akan lari mengasingkan diri, malahan apabila diucapkan basmalah, maka dia akan menjadi kecil seperti lalat sebelum melarikan dirinya.Demikian seperti penjelasan yang dikumpulkan dari hadis-hadis seperti yang terdapat dalam tafsir Ibn Jarir, al-Qurtubiy dan Ibn Athiyyah.
Apabila perancangan syaitan dan bala tenteranya itu bersifat berterusan tanpa henti dan tanpa mengambil kira waktu maka kita mendapati Allah swt menggunakan kata nama was-was yang diambil dari perkataan al-was wasat (الوسوسة ).Menurut Al-Asfahani dalam kitabnya al-Mufradat, salah satu makna asal kepada Kata Nama al-was wasat ini diambil bunyi perhiasan seperti rantai yang sentiasa mengeluarkan bunyi sepanjang waktu.Dari sini kita dapat melihat bahwa penggunaan kalimah al-Quran mengisyaratkan kepada kita betapa gangguan dan godaan syaitan ini bersifat berterusan, tanpa disedari seperti juga keadaan pemakai gelang yang kurang sedar bahawa gelangnya itu mengeluarkan bunyi geseran.
Menerusi ayat ke 5 Allah swt menjelaskan kepada kita bahawa panah yang dilemparkan oleh syaitan berupa bisikan untuk melakukan kejahatan ini berkaitan rapat dengan hati.Sekiranya hati itu sudah dikawal oleh syaitan maka semua tindak tanduknya akan mengarah kepada kehendak syaitan,membelakangkan kehendak Allah swt.Akhirnya dalam ayat yang terakhir Allah swt memberitahu sekalian manusia sebenarnya di samping jin yang menyesatkan ini, manusia juga berperanan menyesatkan kita.Hakikat ini jelas berlaku kerana manusia juga merupakan satu agen yang menyesatkan orang lain.Ia adalah realiti yang tidak dapat kita nafikan dalam kehidupan. Dalam surah al-An’am ayat ke 112, Allah swt berfirman maksudnya : Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari Syaitan-syaitan, manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. Oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan (dari perbuatan yang kufur dan dusta) itu.
Ayat ini menunjukkan bahawa manusia juga mampu bertindak seperti kelakuan syaitan yang mendorong kita melakukan maksiat dengan pengaruh kata-kata dan tindakan.
Cara paling efektif menjaga diri daripada gangguan syaitan ini dijelaskan dalam firman Allah menerusi ayat ke 201 dari surah al-A’raf yang bermaksud : Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari Syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah) maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar).
Justeru kita hendaklah sentiasa berdamping dengan Allah mentaatiNya dalam segenap urusan sentiasa berta’awwuz, memohon perlindungan denganNya dari bisikan syaitan.Muslim juga hendaklah mematuhi bisikan malaikat yang dalam masa yang sama memujuknya melakukan amal salih.Demikian pula tambahan yang penulis petik dari tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
Selain itu beriltizam dengan amalan-amalan tertentu juga dapat menyelamatkan kita dari menjadi mangsa gangguan syaitan.Ini termasuklah menjaga wudhuk, mengamalkan al-Basmalah, berta’awwuz ( membaca A’uzubilLah ), mengamalkan ayatul kursi, membaca al-Mu’awwizatain, membaca keseluruhan surah al-baqarah dan mengucapkan tahlil ( ucapan La ilaha illalLah ).Ini antara yang disenaraikan dalam kitab Rahmatan lil Alamin dalam bab menceritakan tentang dakwah Nabi kepada golongan jin.Wallahu a’lam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment