Sunday, September 16, 2012

Close the Deal dlm Berdakwah


Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Saya selalu ditanya bagaimana caranya untuk “close the deal” mengajak mad’u kita memeluk agama Islam. Ini adalah di antara kaedah yang saya gunakan setakat ini dan saya dapati sangat berkesan. Sila sebar dan kongsikan, insya-Allah. Cara "closing the deal" Sebelum memulakan usaha hendaklah berdoa memohon kepada Allah agar kita dan mad'u kita diberi hidayah oleh Allah SWT. Sepanjang menyampaikan juga hendaklah diselangi dengan zikir kepada Allah dan doa berterusan agar mad'u kita diberikan hidayah. Hendaklah mewujudkan suasana yang mesra, ceria dan penuh keberkatan. Cara kita yang penuh dengan rendah diri, kasih sayang dan senyuman mesra memenangi hati mad'u. 1. Hendaklah dipastikan klien (mad'u) bersedia untuk berbincang menerima kebenaran (jika belum lagi maka mungkin memerlukan lebih banyak masa bersama agar wujud kepercayaan mad'u kepada kita). 2. Hendaklah dipastikan kefahaman mad'u mengenai Islam (Apa yang anda faham mengenai Islam?) Boleh ingatkan mungkin mad'u pernah belajar daripada sekolah, kawan-kawan, jiran, TV dan lain-lain. 3. Hendaklah dipastikan kefahaman mad'u mengenai Allah dan sifat-sifat-Nya yang asas seperti Keesaan, Kekuasaan, Keagungan, hakikat Allah Maha Pencipta dan selain Allah adalah ciptaan-Nya, tidak ada rakan, anak, isteri, bapa, emak. Pada masa ini hendaklah dijelaskan mengapa Allah itu Esa dan bahaya syirik. 4. Hendaklah ditanya adakah keraguan mengenai agama Islam dan jika ada dijelaskan dengan sebaik-baiknya. 5. Hendaklah dijelaskan kepadanya rukun Iman (Allah, Malaikat, Kitab, Nabi, Akhirat, Qadha & Qadar). 6. Hendaklah dijelaskan kepadanya rukun Islam (maksud dua kalimah syahadah, tuntutan solat, kewajiban puasa bulan Ramadhan, membayar zakat dan haji) 7. Pastikan mad'u boleh menerima rukun-rukun dan tidak ada keraguan (Adakah anda boleh menerima rukun-rukun tadi? Ada keraguan pada mana-mana rukun?) Sebarang persoalan mestilah dijawab dan dijelaskan sehingga mad'u boleh terima. 8. Tanya mad'u adakah boleh faham dan menerima semua rukun-rukun tadi. 9. Tanya mad'u adakah keraguan lagi mengenai Islam. Jika ada, hendaklah dijawab dan pastikan sekali lagi bahawa mad'u tidak ada keraguan lagi. 10. Jelaskan bahawa jika mad'u sudah boleh menerima kesemua rukun Iman dan rukun Islam, beliau sebenarnya sudah pun menjadi seorang Muslim di sisi Allah SWT. 11. Oleh itu, sebaiknya beliau melafazkan dua kalimah syahadah untuk merasmikan kemasukannya ke dalam Islam. 12. Ajarkan kalimah syahadah kepada beliau pada masa itu juga dan jika ada saksi, maka sahlah pengIslamannya pada masa itu juga. Jika berjaya mengislamkan, yakinlah itu Hidayah daripada Allah dan kita hanyalah perantara Allah. Bersyukurlah kepada Allah. Wassalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Hj Nicholas Sylvester Pengerusi JK Dakwah IKRAM

No comments: