Saturday, November 27, 2010

Celaan Membawa Semangat.

Celaan Membawa Semangat.
by Ustaz Zahazan Mohamed on Monday, 22 November 2010 at 12:13
Petikan dr Majalah Solusi isu 25 (Mujahadah Melawan Nafsu), kolum Mahmudah oleh Us Umar M Nur hafizahulLah.

Celaan Menjadi Semangat.
Ramai tokoh dalam Islam bangun hasil celaan seseorang. Kita ambil beberapa tokoh sebagai contoh antaranya yang berasal dari negeri Mesir ini, namanya Ahmad bin Muhammad bin Salamah Al-Tahawi, gelarannya Abu Jaafar. Beliau lahir di desa Taha pada tahun 237 H, lalu terkenal sebagai seorang faqih mazhab Hanafi sekali gus seorang ahli hadis bergelar al-Hafiz. Setiap orang yang membaca buku-buku karangannya seperti Syarh Ma’ani al-Atsar, Syarh Musykil al-Atsar dan lain-lain dapat dengan jelas melihat kepakaran beliau dalam kedua ilmu ini.

Pada awalnya, Abu Jaafar Al-Tahawi ini hanya seorang pemuda biasa. Beliau juga bukan pengikut mazhab Hanafi, akan tetapi seorang pengikut mazhab Syafii. Beliau mempelajari mazhab ini daripada pakciknya yang bernama Abu Ibrahim Al-Muzani, seorang murid Imam al-Syafii. Pada suatu hari, Abu Jaafar banyak melakukan kesilapan dalam membaca kitab fiqh di hadapan pakciknya ini. Al-Muzani mencela dan memakinya. Dalam emosi, beliau bersumpah, “Demi Allah, engkau tidak akan berjaya dalam pelajaran!”

Mendengar celaan dan makian ini, Abu Jaafar Al-Tahawi menjadi sangat marah. Beliau lalu meninggalkan majlis al-Muzani dan beralih kepada Ibn Abi Imran untuk mengaji fiqh Hanafi daripadanya. Kekesalannya dek celaan al-Muzani membakar semangatnya untuk belajar dengan penuh kesungguhan. Akibatnya, beberapa tahun kemudian al-Tahawi tampil sebagai ulama terkemuka sekali gus pembela mazhab Hanafi terbesar hingga ke hari ini. Kepakarannya dalam hadis membuat ijtihad-ijtihad Imam Abu Hanifah yang sebelumnya dikenal sebagai ahli Ra‎’yi terlihat sangat dekat dengan hadis Nabi s.a.w.

Al-Muzani telah lama wafat apabila Abu Jaafar al-Tahawi menjadi ulama sebesar ini. Abu Jaafar al-Tahawi berkata, “Semoga Allah merahmati Abu Ibrahim Al-Muzani. Andai beliau masih hidup pada saat ini, beliau perlu membayar kaffarah untuk menebus sumpahnya.”

Kisah ini dapat anda temukan di buku-buku karangan al-Hafiz al-Dzahabi seperti Tazkirat al-Huffaz, Siar A’lam al-Nubala dan lain-lain.

Sikap ini menjadi pilihan orang berhati bersih dan berjiwa luas. Celaan mendorong orang seperti ini untuk menjadi insan yang lebih baik dan lebih sempurna. Ia bertekad merubah celaan tersebut menjadi penyebab kita meraih pujian di kemudian hari, sama ada di dunia ataupun di akhirat. Dan sikap ini menjadi pilihan tokoh-tokoh besar dunia Islam seperti yang terjadi pada diri Abu Jaafar Al-Tahawi di atas.

Sibawaih
Selain al-Tahawi, saya menemukan banyak sekali tokoh Islam lain yang juga pandai merubah celaan menjadi semangat. Salah seorangnya adalah Abu Bisyr ‘Amr bin ‘Usman bin Qanbar, terkenal dengan gelaran Sibawaih (w. 180 H). Setiap orang yang pernah belajar Bahasa Arab pasti mengenal nama ini. Beliau seorang ulama Nahwu yang memberi sumbangan tidak ternilai dalam perkembangan bahasa Arab hingga namanya tetap hidup hingga ke hari ini.

Seperti al-Tahawi, Sibawaih pada mulanya hanyalah seorang pemuda biasa. Suatu hari, apabila belajar hadis kepada Imam Hammad bin Salamah di Basrah, beliau tersilap membaca sebuah kata yang terdapat di dalam hadis tersebut. Satu lafaz yang seharusnya dibaca mansub, ia baca marfu’. Hammad menghardiknya di hadapan orang ramai, “Engkau keliru, wahai Sibawaih!”

Hardikan itu sangat berkesan di hati Sibawaih. Beliau merasa malu dan marah. Di dalam hati, beliau segera bertekad, “Aku akan menuntut sebuah ilmu yang dapat menjagaku daripada disalahkan oleh orang lain.” Beliau lalu mendatangi ulama Nahwu terbaik di masanya, iaitu Al-Khalil bin Ahmad, untuk belajar semua ilmu yang berkaitan dengan bahasa Arab. Beliau belajar dengan sungguh-sungguh hingga beberapa lama kemudian namanya dikenali sebagai tokoh bahasa Arab terbesar sepanjang sejarah.

Kisah ini saya lalui apabila membaca kitab Nahwu karangan Imam Ibn Hisyam al-Ansari yang bertajuk Mughni al-Labib ’an Kutub al-A’arib dalam majlis Syeikh Usamah al-Rifa’i di Damsyiq Syiria.

Ibn Sina
Kisah lain yang lebih dahsyat saya temukan dalam kitab Lathaif al-Minan Wal Akhlak karya Imam Abdul Wahab al-Sya’rani. Beliau menukilkan daripada Imam Taqiyuddin al-Subki yang bercerita tentang kisah Abu Ali Ibn Sina seorang filosof Islam yang sangat pandai dan genius.

Suatu hari seseorang mencela Ibn Sina kerana ia tidak hafal al-Quran. Mendengar celaan itu, Ibn Sina menjadi sangat malu dan marah. Beliau lalu terdorong untuk menghafal seluruh al-Quran, dan beliau melakukannya hanya dalam satu malam! Padahal sebelumnya ia hanya menghafal surah Al-Fatihah, Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas sahaja.

Bagi saya, kisah ini sangat mengagumkan dan luar biasa sehingga nampak agak sukar untuk dipercayai. Allah yang lebih tahu akan kesahihan kisah ini.

Menata Hati Menghadapi Celaan
Setiap manusia tidak dapat lari daripada celaan dan cemuhan orang lain. Siapa pun kita, di mana pun kita berada, selalu sahaja terdapat orang yang akan mencela bahkan mencemuh kita. Malah Allah dan rasul-Nya pun tidak terlepas dari lidah keji manusia-manusia seperti ini. Seorang penyair Arab berkata: “Manusia menuduh Allah punya anak, mereka juga berkata: Rasul seorang tukang sihir. Tidak selamat Allah dan rasul-Nya daripada lidah manusia, apatah lagi saya?”

Kerana celaan suatu kepastian, maka kita mesti pandai menata hati. Jangan biarkan ucapan negatif orang lain itu mengeruhkan hidup kita, menguruskan tubuh kita dan menahan kita daripada aktiviti yang bermanfaat untuk masa depan kita.
Kita mesti pandai memanfaatkan energi positif yang terdapat di dalam celaan untuk membakar semangat menuju kejayaan. Setiap kali mendengar celaan, pandanglah ia sebagai obat, semakin pahit rasanya semakin baik untuk kesihatan kita.

Marah dan dua pilihan
Saya tidak tahu dengan anda, akan tetapi setiap kali mendengar celaan, apalagi jika berlaku di hadapan orang ramai, hati saya terasa sangat sakit. Telinga terasa terbakar, muka merah padam, dan emosi terasa hendak meletup. Malu terasa bercampur dengan kemarahan.

Jika anda merasakan hal yang sama, itu pertanda anda manusia normal. Sebagai manusia, celaan sangat menyakitkan hati dan membakar kemarahan. Hanya orang bodoh sahaja yang tidak marah ketika orang lain menyentuh kehormatan dan meruah dirinya. Imam al-Syafii berkata, “Barang siapa yang dibuat supaya marah namun tidak marah, maka ia adalah keldai.” Keldai adalah simbol untuk kebodohan yang sangat parah.

Pada saat penuh emosi ini, kita dihadapkan dua pilihan yang siap untuk diambil. Apa yang kita pilih biasanya ditentukan oleh karakteristik jiwa kita.

Pilihan pertama adalah merubah kemarahan itu menjadi dendam, lalu menyimpannya di dalam hati dan menunggu saat yang tepat untuk diaktualkan. Ia menanti dengan penuh waspada masa keemasan untuk membalas sakit hatinya dengan berbagai perbuatan yang dapat merosakkan orang lain, bahkan dirinya sendiri. Sikap ini menjadi pilihan ni orang yang berjiwa kotor dan hina. Celaan dan makian yang ia dengar bukan sahaja merosak hatinya, malah juga meruak masa depannya.

Pilihan kedua adalah menyimpan kemarahan itu di dalam hati lalu merubahnya menjadi pembakar api semangat untuk memperbaiki diri. Celaan memang menyakitkan, namun ia menyedarkan kita kepada kekurangan diri yang mesti diperbaiki. Tidak ada yang lebih menyakitkan hatinya daripada membiarkan kekurangan tersebut tetap berada di dalam dirinya sehingga mengundang berbagai celaan lain sepanjang hidupnya.

Celaan sebuah ubat, pujian sebuah racun
Imam al-Ghazali di dalam Ihya Ulumiddin berkata, “Sering kali manfaat yang kita dapatkan daripada celaan orang-orang yang memusuhi kita lebih banyak daripada manfaat yang kita dapatkan dari teman-teman yang selalu memuji kita.”

Ya, pujian jauh lebih merbahaya daripada celaan. Ia memang manis, namun mengandungi racun yang dapat merosak hati manusia. Semakin terbiasa seseorang mendengar pujian, semakin hatinya tertutup daripada kebenaran. Pada saat itu, ia tidak akan pernah tersedar daripada kekurangan dirinya apalagi tergerak untuk merubah dan memperbaikinya. Tanda seseorang sangat hina di mata Allah, Allah membiarkannya tenggelam dalam pujian.

Sebaliknya, celaan memang pahit namun ia berisi ubat yang akan merubah hidup kita menjadi lebih sempurna. Syaratnya kita mesti pandai merubah celaan itu menjadi pembakar semangat seperti yang dilakukan tokoh-tokoh berjiwa besar. Jika anda memiliki jiwa sebesar mereka, anda pasti melakukan apa yang mereka lakukan. Wallahu a’lam.

Doa mengelak dari men

Doa mengelak dari menjadi pelupa

اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَأَرْضِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, tambahkanlah buat kami jangan Engkau kurangkan, muliakanlah kami jangan dihina, berilah buat kami jangan ditahannya, dan pilihlah kami jangan Engkau biarkan, dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.” (Riwayat Ahmad no. 224)

Amalan: Menurut al-Tirmizi, al-Nasa’i dan al-Hakim, doa ini dibaca oleh Nabi s.a.w. sebaik sahaja selesai menerima wahyu. Oleh sebab itu, kita digalakkan membaca doa ini semasa memperoleh ilmu agar dikurniakan keberkatan apa yang dipelajari menyebabkan semuanya itu terus tersemat dalam minda dan dijauhi penyakit lupa.

Dipetik daripada Zikir, Doa dan Wirid di Tanah Suci, Ustaz Zahazan Mohamed, terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd.

Sunday, November 21, 2010

Doa Agar Suami dan Isteri Saling Mengasihi

Doa Agar Suami dan Isteri Saling Mengasihi
by Ustaz Zahazan Mohamed on Friday, 12 November 2010 at 10:15
اللَّهُمَّ حَبِّبْ عَبْدَكَ هَذَا إِلَى عِبَادِكَ الْمُؤْمِنِينَ وَحَبِّبْ إِلَيَّ الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya: “Ya Allah jadikanlah hamba-Mu ini mencintai orang yang beriman dan jadikanlah orang yang beriman mencintaiku.” (Riwayat Muslim no. 2491)

Amalan
Dalam hadis sahih riwayat Muslim, Abu Hurairah r.a. telah memohon Nabi s.a.w. agar berdoa kepada Allah s.w.t. agar memberikan hidayah kepada ibunya supaya memeluk Islam. Dengan doa Nabi s.a.w. yang juga menunjukkan mukjizat Baginda, ibu Abu Hurairah r.a. telah memeluk Islam. Kemudian beliau meminta kepada Nabi s.a.w. agar dia dan ibunya dicintai oleh sekalian orang-orang yang beriman. Nabi s.a.w. telah mendoakan untuk mereka dengan doa di atas dengan sedikit penambahan iaitu kalimah “wa ummuha” (dan ibunya) selepas kalimah “abdaka haza”. Hasil doa Nabi s.a.w. ini, setiap orang beriman yang lahir akan melahirkan rasa cinta apabila mendengar tentang Abu Hurairah. Oleh sebab itu, doa ini boleh digunakan oleh pasangan suami isteri untuk mengikat serta menyuburkan rasa kasih sayang sesama mereka.

Dipetik daripada Doa Menjadi Pengantin Baru Setiap Hari, Zahazan Mohamed, terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd.

Hikmah Korban

Hikmah Korban; sumber dari kitab Sabil al-Muhtadin terbitan Telaga Biru Sdn Bhd
by Ustaz Zahazan Mohamed on Thursday, 18 November 2010 at 14:41
Hikmah Korban

Korban dan akikah merupakan ibadah dan amalan yang mulia dan penting dalam Islam kerana amat besar fadilat dan implikasinya. Malangnya masih ramai orang yang samar-samar atau kabur kefahaman terhadapnya. Tidak kurang yang memandang ringan terhadap ibadah ini. Mereka mempunyai kemampuan tetapi tidak mahu melakukan penyembelihan korban dan akikah ini.

Penjelasan dan pengisian yang terkandung dalam kitab ini dapat membantu kefahaman masyarakat tentang ibadah korban serta akikah. Malah akan timbul keinginan atau meningkatkan kesungguhan untuk sama-sama mencari pahala daripada kedua-dua ibadah ini.

Antara persoalan yang sering terdengar dalam masyarakat ialah:
• Apakah sebenarnya korban dan akikah itu?
• Apakah perbezaan antara korban dan akikah?
• Apakah hukum melakukannya?
• Berapa kali kita dituntut melakukan korban sepanjang hayat kita?
• Apakah syarat-syarat binatang yang hendak dikorbankan?
• Bolehkah seekor lembu dikongsi sebahagian untuk korban dan sebahagian lagi untuk akikah?
• Apakah hikmah atau faedah yang bakal diperolehi kerana melakukan kedua-dua ibadah itu?

Penyembelihan Korban
Korban ialah penyembelihan binatang yang dilakukan pada Hari Raya Haji (selepas solat sunat Aidiladha) dan pada tiga hari tasyrik berikutnya iaitu pada 11, 12 dan 13 Zulhijah. Korban hendaklah diniatkan sebagai ibadah kepada Allah SWT dan tidak boleh untuk tujuan selain itu. Syiar ini adalah sebagai menghidupkan syariat Nabi Allah Ibrahim a.s. yang kemudiannya disyariatkan kepada Nabi Muhammad SAW.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Dan telah Kami jadikan unta-unta itu sebahagian daripada syiar Allah, kamu memperolehi kebaikan yang banyak daripadanya, maka sebutlah nama Allah ketika kamu menyembelihnya dalam keadaan berdiri (dan telah diikat). Kemudian apabila telah rebah (mati), maka makanlah sebahagiannya dan beri makanlah orang yang rela dengan apa yang ada padanya (yang tidak memintaminta) dan orang yang meminta. Demikianlah Kami telah menundukkan unta-unta itu kepada kamu, mudah-mudahan kamu bersyukur.”
(Surah al-Hajj 22: 36)

“Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah.”
(Surah al-Kawthar 108: 2)

Daripada Aisyah r.ha. Nabi Muhammad SAW telah bersabda yang bermaksud:
“Tiada suatu amalan yang dilakukan oleh manusia pada Hari Raya Korban, yang lebih dicintai Allah selain daripada menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan korban itu pada hari kiamat kelak akan datang berserta dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya, dan sesungguhnya sebelum darah korban itu menyentuh tanah, ia (pahalanya) telah diterima di sisi Allah, maka beruntunglah kamu semua dengan (pahala) korban itu.”
(Riwayat al-Tirmizi, Ibn Majah dan al-Hakim)

Zaid bin Arqam berkata: “Mereka telah bertanya, ‘Wahai Rasulullah, apakah udhiyyah (korban) itu?’ Nabi Muhammad SAW menjawab: ‘Ia sunnah bagi bapa kamu Nabi Ibrahim.’ Mereka bertanya lagi: ‘Apakah ia untuk kita?’ Rasulullah SAW menjawab: ‘Dengan tiap-tiap helai bulu satu kebaikan.’ Mereka bertanya: ‘Bagaimana bulu yang halus pula?’ Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: ‘Dengan tiap-tiap helai bulu yang halus itu satu kebaikan.’”
(Riwayat Ahmad dan Ibn Majah)

Hukum Korban
Korban hukumnya sunat mu’akkad (sunat yang dituntut) atas orang yang memenuhi syarat-syarat seperti berikut:
• Islam.
• Merdeka (bukan hamba).
• Baligh lagi berakal.
• Mampu untuk berkorban.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Aku disuruh berkorban dan ia sunat bagi kamu.”
(Riwayat al-Tirmizi)

“Telah diwajibkan kepadaku korban dan tidak wajib bagi kamu.”
(Riwayat al-Daruqutni)

Walaupun hukum berkorban itu sunat tetapi ia boleh bertukar menjadi wajib jika dinazarkan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Sesiapa yang bernazar untuk melakukan taat kepada Allah, maka hendaklah dia melakukannya.”

Hikmah Dan Fadilat Korban
• Menghidupkan sunnah Nabi Allah Ibrahim a.s.
• Mendidik jiwa ke arah takwa dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.
• Mengikis sifat tamak dan mewujudkan sifat murah hati mahu berbelanja harta ke jalan Allah SWT.
• Menghapuskan dosa dan mengharap keredaan Allah SWT.
• Menjalinkan hubungan kasih sayang sesama manusia terutama antara golongan berada dengan golongan yang kurang bernasib baik.
• Akan memperolehi kenderaan atau tunggangan ketika meniti titian al-Sirat al-Mustaqim di akhirat kelak.

Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:
“Muliakanlah korban kamu kerana ia menjadi tunggangan kamu meniti titian pada hari kiamat.”

Friday, November 12, 2010

Cara Mengelak Azab Kubur/ Kematian yg lepas azab kubur

Drg dlm ikim.fm tadi, Dr Zulkifli

Pjg le huraian dan dalil, ni aku ambik mana yg ingt je;

1) Jihad - i.e. mati syahid
2) Baca surah Mulk setiap malam
3) Baca surah Al-ikhlas
4) Zikir Lailahaillahah, almalikul haqqul mubin
5) Mati sakit perut
6) Ditimpa sakit dan redha
7) Mati hari jumaat atau malamnya

Takat ni je yg aku dgr.

Disebut juga ttg hadis nabi bahawa nabi buh pelepah tamar atas kubur 2 org yg sedang diazab utk ringankan siksa. Sorang tu disebabkan bersuci tak bersih dan sorang lagi suka bawak mulut.

Saturday, November 6, 2010

YA ALLAH AKU BERIMAN AKAN KEBENARAN SYURGAMU TAPI MENGAPA DIRI INI KERAP TERLUPA ?

YA ALLAH AKU BERIMAN AKAN KEBENARAN SYURGAMU TAPI MENGAPA DIRI INI KERAP TERLUPA ?
by Ustaz Zahazan Mohamed on Friday, 08 October 2010 at 08:13
Syurga menjadi negeri yang indah untuk didiami kerana seluruh penghuninya memiliki hati yang jernih dan saling mencintai. Tidak ada lagi iri hati, hasad dengki dan terkilan apabila melihat saudara atau jirannya mendapatkan nikmat. Tidak ada lagi kata-kata dosa atau ucapan tak berguna. Yang terdengar hanyalah ucapan salam yang disebutkan berulang-ulang, juga tasbih dan pujian kepada Allah sebanyak hembusan nafas.

Negeri penuh kedamaian ini terbuka hanya untuk orang yang berhati damai (qalb salim), iaitu hati yang dipenuhi keimanan kepada Khalik dan cinta kepada makhluk. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Kamu tidak akan masuk syurga sebelum beriman. Dan iman kamu tidak akan sempurna sebelum saling mencintai. Dan mahukah kamu aku beritahukan suatu amalan yang jika dilakukan kamu akan saling mencintai? Sebarkanlah salam di antara kamu.”

Jadi, hadis ini memberitahukan bahawa menyebarkan salam akan membawa ke Dar al-Salam. Namun anjuran ini tentulah bukan sekadar ucapan tanpa makna, akan tetapi diiringi tekad untuk menyebarkan kedamaian dan keselamatan kepada seluruh manusia. Sebab salam pada hakikatnya ialah doa yang kita sampaikan kepada seseorang agar diri dan agamanya diselamatkan daripada segala kerosakan, aib dan penyakit. Perkara ini sangat jelas jika kita amati satu persatu kata-kata yang terdapat dalam ucapan salam.

Imam al-Nawawi menambah, “Salam juga mengisyaratkan hilangnya permusuhan, hasad dengki, niat buruk apalagi gangguan yang hendak kita timpakan kepada orang tersebut.” Menuyebarkan salam dengan begitu, sama dengan menyebarkan kedamaian ke seluruh dunia dan membuka pintu persaudaraan kepada semua manusia.

Setiap Muslim yang memiliki kondisi hati yang damai seperti ini ditetapkan sebagai ahli syurga meskipun ia masih berjalan di muka bumi. Imam Ahmad meriwayatkan dalam Musnadnya daripada Anas bin Malik r.a., bahawa suatu hari Rasulullah s.a.w. bersabda kepada para sahabatnya, maksudnya: “Akan datang kepada kalian seorang lelaki dari ahli syurga.” Tidak lama kemudian masuk seorang lelaki daripada kalangan Ansar. Setelah ditanya oleh Abdullah bin ‘Amr tentang amalannya, lelaki Ansar itu menjawab: “Dalam hatiku tidak pernah ada kebencian dan hasad dengki kepada seorang pun daripada kaum Muslimin.”

Al-Hafiz Ibn Rajab al-Hanbali dalam kitab Lata’if al-Ma‘arif menukil ucapan ulama salaf yang berkata, “Amalan yang paling utama adalah menjaga hati, bersifat dermawan dan tulus kepada semua Muslimin. Dengan sifat-sifat inilah seseorang boleh tiba ke syurga, bukan dengan memperbanyakkan puasa atau solat (sunat).”

Prinsip yang disebutkan Ibn Rajab ini sangat penting untuk kita sebarkan kepada seluruh lapisan masyarakat kita pada hari ini. Terutama pada masa kini, setiap orang berasa dirinya memonopoli kebenaran dan membantah pendapat orang lain seolah-olah sedang berjihad menentang orang kafir. Sikap seperti ini bukan mendekatkan diri kita kepada syurga, malah menjauhkannya. Hanya hati-hati yang penuh kedamaian dan suka menebarkan kedamaian yang dapat membawa diri kita ke syurga Dar al-Salam yang kekal abadi.

JIKA SEMUA GOLONGAN YG ALIM BERSIKAP SEPERT

JIKA SEMUA GOLONGAN YG ALIM BERSIKAP SEPERTI MALIK RA petikan dr Majalah Solusi Kolum Us Umar M Nur hafizahulLah
by Ustaz Zahazan Mohamed on Thursday, 21 October 2010 at 14:47
Sebagai tokoh rujukan umat Islam, nama Imam Malik bin Anas sangat harum di sisi penguasa Abbasiah di Baghdad. Khalifah Abu Jaʻfar al-Mansur (w. 158H) sangat mengagumi dan menghormati beliau. Ketika Khalifah al-Mansur datang ke Makkah untuk melaksanakan ibadah haji, beliau segera menjemput Imam Malik untuk menemuinya. Kedua-duanya berbincang tentang pelbagai permasalahan agama. Tampak sekali, Khalifah sangat teruja dengan keluasan ilmu yang dimiliki oleh Imam ahli Madinah ini.
Khalifah al-Mansur lalu berkata, “Saya berniat untuk menyalin bukumu yang bertajuk al-Muwatta’ dan mengutusnya ke seluruh negeri. Lalu akan aku perintahkan semua rakyat untuk melaksanakan isinya dan meninggalkan kitab-kitab yang lain. Ini kerana aku berpendapat bahawa mazhab yang benar adalah riwayat dan pendapat ahli Madinah.”
Abu Jaʻfar al-Mansur terkenal sebagai seorang khalifah yang sangat tegas dan disegani rakyatnya. Jika beliau memerintahkan sesuatu, tidak ada yang berani membantahnya. Dan ucapan beliau kali ini berisi tawaran untuk menjadikan kitab al-Muwatta’ satu-satunya rujukan hukum dan fatwa Imam Malik satu-satunya fatwa yang bakal diguna di tengah-tengah masyarakat.
Namun, apa agaknya respons Imam Malik terhadap tawaran ini? Beliau berkata, “Wahai Amirulmukminin, janganlah engkau lakukan niat ini! Sesungguhnya masyarakat telah mempunyai pendapat mereka sendiri. Mereka juga membaca hadis dan pelbagai riwayat. Setiap orang mengamalkan pendapat yang menurutnya benar sesuai dengan berbagai-bagai fatwa para sahabat Nabi s.a.w. Mencabut amalan dan pendapat yang selama ini diyakini bukan perkara ringan. Maka biarkanlah setiap orang melaksanakan pendapat yang menjadi pilihan mereka.”
Mendengar jawapan bijaksana yang keluar dari mulut Imam Malik ini, Khalifah al-Mansur mengurung niatnya. Beliau berkata, “Demi Allah, andai engkau setuju, nescaya aku akan segera melaksanakan niatku ini.”

Beruntungnya menjadi wanita Islam!

Beruntungnya menjadi wanita Islam!
by Ustaz Zahazan Mohamed on Wednesday, 27 October 2010 at 15:31
ISLAM MENGANGKAT DARJAT WANITA

Mengutamakan ibu ke atas bapa.
Seorang lelaki datang kepada Rasulullah s.a.w. lalu berkata, “Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling berhak untuk aku hormati?”

Baginda menjawab, “Ibumu!”

Lelaki itu terus bertanya, “Kemudian siapa?” Nabi s.a.w. menjawab, “Ibumu!” Lelaki itu bertanya lagi, “Kemudian siapa?” Nabi s.a.w. menjawab, “Ibumu!” Sekali lagi lelaki itu bertanya, “Kemudian siapa?” Nabi s.a.w. menjawab, “Bapamu!” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Anak perempuan menjadi penyelamat di akhirat.
“Barang siapa yang menanggung dua anak perempuan, lalu berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi tirai pencegah baginya dari api neraka.” (Riwayat Bukhari) Begitu juga bagi mereka yang mempunyai satu atau lebih anak perempuan.

Wanita bukan hamba lelaki tetapi setaraf dari segi nilai kemanusiaan bagaikan adik beradik.

“Sebenarnya wanita itu adalah saudara kandung lelaki.” (Riwayat Abu Daud)

Amal soleh wanita diiktiraf oleh Allah sebagaimana amal soleh lelaki diiktiraf.
“Barang siapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka mereka itu akan masuk ke dalam syurga dan mereka tidak dianiaya walau sedikit pun.” (Surah al-Nisa’: 124)

Hak wanita diiktiraf.
Umar al-Khattab r.a. berkata, “Pada zaman jahiliah kami tidak menghargai wanita walau sedikitpun. Tetapi tatkala Islam datang dan Allah menyebut-nyebut tentang mereka, barulah kami sedar bahawa mereka mempunyai hak ke atas kami.”

sumber: Solusi25, mukasurat 70 dalam ruangan Info

Tazkirah: Hikmah Wakaf

Tazkirah: Hikmah Wakaf
by Ustaz Zahazan Mohamed on Thursday, 04 November 2010 at 12:25
Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, Apabila seorang anak Adam meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali melalui tiga sumber; sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang berdoa untuknya.

Hikmah Wakaf
1. Sebagai salah satu cara untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.
2. Membuka jalan bagi orang beriman yang suka memberi wakaf dan berlumba-lumba dalam amal kebajikan dan mengharapkan pahala.
3. Memberi pahala yang berterusan kepada pewakaf selepas kematian selagimana harta wakaf tersebut kekal dimanfaatkan.
4. Untuk kebaikan Islam, seperti membina masjid, surau, tanah perkuburan dan sebagainya.
5. Membantu mengurangkan beban orang fakir dan miskin serta anak yatim.

Syukur & Warak

Tazkirah hari ini, Nabi saw bersabda, maksudnya : "Jadilah warak agar kau dapat keenakan beribadah, jadilah orang yang bersifat qana'ah, agar kau menjadi orang yg paling bersyukur! ( rwyt al-baihaqiy )

Qana'ah pula bermaksud merasa puas dengan anugerah Allah, ia biasanya dikaitkan dgn rezki.Nabi saw sering berdoa, maksudnya : "Ya Allah jadikan rezki keluarga Muhammad setakat keperluan! ( rwyt al-Bukhari & Muslim )

Dalam qamus cthnya aqrabul Mawarid Warak bermaksud meninggalkan sebarang bentuk maksiat dan perkara syubhat kerana Allah swt, ataupun meninggalkan perkara2 yg dianggap biasa kerana takut ia dinilai sebagai dosa, ini termasuk kata2 yg tidak berfaedah 2/1444